Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) merupakan satu inisiatif untuk
merealisasikan hasrat Kerajaan ke arah melahirkan Keluarga Malaysia yang sihat
sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat.
Selaras dengan pendekatan seluruh negara dalam Agenda Nasional Malaysia
Sihat (ANMS), Bulan Malaysia Sihat Sejahtera diaspirasi untuk mengukuhkan
jalinan kerjasama di antara rakan strategik, di mana semua pihak, termasuk
Kementerian Kesihatan (peringkat kebangsaan & negeri) bersama rakan strategik
ANMS akan berganding bahu untuk dalam merancang dan melaksana program/
aktiviti pembudayaan hidup sihat secara bersepadu dan meluas demi
kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Bulan Malaysia Sihat Sejahtera akan disambut pada bulan Oktober. Sambutan
menggunakan pendekatan pencegahan dalam pembudayaan hidup sihat bukan
sahaja untuk meningkatkan keupayaan imuniti badan dalam mencegah dan
melawan sebarang jangkitan dan penyakit, malah demi penuaan yang sihat.
Sehubungan itu, pengisian sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera ini dirangka
untuk meningkatkan literasi, memperkasa dan membina upaya Keluarga Malaysia
dalam pembudayaan hidup sihat dan persekitaran sihat demi meningkatkan
imuniti badan untuk mencegah dan melawan jangkitan dan penyakit dan penuaan
yang sihat.
Amalan-amalan seperti aktiviti fizikal, makan secara sihat, pengurusan berat
badan, minda sihat, tidak merokok, tidak mengambil minumam berakohol,
penjagaan persekitaran sihat & bersih serta kawalan kesihatan kendiri merupakan
asas penting bagi sistem kesihatan negara yang beralih tumpuan daripada
rawatan dan intervensi setelah berpenyakit kepada menyokong dan membantu
Keluarga Malaysia untuk sentiasa sihat.