Mari menjaga kesihatan gigi kita!
Bak kata pepatah "mencegah adalah lebih baik dari merawat!", penjagaan kesihatan pergigian adalah penting untuk mencegah masalah pergigian.
Gigi penting untuk pertuturan, mengunyah makanan dan juga untuk keyakinan diri. Seringkali, masalah pergigian tidak dihiraukan sehinggalah ia menyebabkan sakit/nanah/bengkak. Sebenarnya, dengan adanya sifat tanggungjawab untuk mengamalkan penjagaan kesihatan gigi yang baik dan betul, semua masalah ini boleh dielakkan.
Tip amalan penjagaan kesihatan gigi:
1. Pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya sekali setahun dan segera mendapatkan rawatan dari doktor gigi sekiranya mengalami masalah pergigian
- Pemeriksaan pergigian secara berkala membantu dalam pengesanan masalah pergigian dengan lebih awal dan rawatan pergigian boleh dilakukan sebelum terlambat. Sekiranya dibiarkan lama, ia mungkin akan merumitkan lagi rawatan pergigian di masa hadapan
2. Memberus gigi dua kali sehari
- Berus gigi dua kali sehari, pada waktu pagi selepas bangun dan sebelum tidur
- Pastikan anda menggunakan ubat gigi berfluorida
- Fluorida adalah sejenis mineral yang membantu menguatkan lapisan luar gigi yang dikenali sebagai enamel
- Pastikan anda berus dengan teliti di hadapan cermin, ambil sekurang-kurangnya 2 minit untuk memberus gigi
3. Flos gigi setiap hari
- Flos gigi anda untuk membuang kotoran yang terlekat di celah-celah gigi (bahagian yang susah dibersihkan dengan berus gigi)
4. Kurangkan makanan manis
- Makanan manis akan menyebabkan bakteria pada plak gigi untuk menghasilkan asid dan menyebabkan kerosakan gigi
- Selain masalah pergigian, ia juga akan menyebabkan masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis
5. Amalkan pemakanan sihat
- Makan makanan secara seimbang, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan, kurangkan pengambilan gula
Kenapa gigi susu penting?
⚠️ Ramai ibu bapa yang menganggap gigi susu itu tidak penting kerana ia akan tanggal dan diganti dengan gigi kekal walhal gigi susu perlu diberi keutamaan.
🦷 Gigi susu membantu dalam kesihatan dan perkembangan anak. Kesihatan anak akan terjejas akibat gigi yang rosak dan menyebabkan sakit gigi/bengkak/nanah.
🦷 Gigi susu ini akan membantu mengekalkan ruang gigi untuk menjadi panduan kepada pertumbuhan gigi kekal pada posisi yang sepatutnya. Tetapi apabila gigi susu hilang awal, ini akan menyebabkan gigi tumbuh secara "berlapis" atau "tidak lurus" ataupun tidak tumbuh kerana tidak mempunyai ruang.
🦷 Gigi susu amat penting untuk bertutur dengan jelas. Ini adalah penting untuk proses perkembangan mereka. Ini memudahkan mereka untuk belajar dan membaca.
🦷 Gigi susu juga berperanan untuk mengunyah makanan, ia membantu proses penghadaman dan meyumbangkan nutrisi kepada anak yang sedang membesar.
🦷 Gigi susu ini juga penting untuk penampilan diri mereka agar tidak diejek "gigi hitam/gigi buruk" oleh orang lain terutamanya kawan mereka sendiri. Ini akan menggangu emosi anak di usia yang begitu muda lagi. Sekiranya gigi dijaga dengan baik, ini akan meningkatkan keyakinan anak untuk bersosial.
❗️Oleh itu, jagalah gigi anak anda sebelum terlambat!
Bila perlu tukar berus gigi?
Hingga kini, masih ramai lagi yang tidak tahu kepentingan penjagaan berus gigi. Berus gigi harus dijaga dan dibersihkan seperti mana kita menjaga kebersihan mulut agar bakteria tidak melekat pada berus gigi dan membiak.
⚠️ Tahukah anda? Sekiranya berus gigi tidak ditukar boleh menyebab berlakunya jangkitan mulut atau kerongkong, selesema, batuk dan juga demam.
🪥 Selain itu, bulu berus gigi yang sudah rosak tidak dapat membersihkan gigi dengan betul. Oleh itu, pastikan bulu berus anda dalam keadaan lurus.
🪥 Anda digalakkan untuk menukar berus gigi anda setiap tiga bulan atau selepas sebarang jangkitan mulut atau kerongkong.
🪥 Pastikan anda simpan berus gigi yang telah digunakan itu di tempat yang kering. Jangan letak berus gigi di kawasan yang lembap seperti dekat sinki, untuk mengelakkan pertumbuhan bakteria pada berus gigi.
📌 Dengan ini diharapkan anda sentiasa beli berus gigi yang lebih sebagai stok untuk menukar berus gigi apabila perlu!
Ingat hari jadi, ingat doktor gigi
Hai semua! 👋🏻
Apa yang sering kamu lakukan pada ulang tahun anda? 🤔
🎂 Membeli kek hari jadi dan meniup lilin?
🚗 Pergi ke JPJ untuk memperbaharui lesen memandu?
✈️ Pergi melancong bersama yang tersayang?
Bersempena dengan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian 2021 yang bertemakan "Ingat Hari Jadi, Ingat Doktor Gigi", marilah kita menjadikan rutin untuk pergi ke klinik gigi yang berdekatan bagi mendapatkan pemeriksaan gigi menjelang hari jadi kita pada setiap tahun 👩🏻⚕️🦷👨🏻⚕️
Kenali bahan restorasi pergigian
Kini dengan teknologi yang berkembang dengan pesat, terdapat pelbagai jenis bahan pergigian yang ditawarkan, tidak kira di klinik pergigian swasta atau kerajaan.
Terdapat pelbagai jenis bahan yang boleh digunakan dalam rawatan restorasi tampalan pergigian, antaranya seperti amalgam, komposit resin dan juga simen ionomer kaca. Setiap bahan pergigian ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri, yang disesuaikan dengan kegunaan dan keadaan gigi yang dirawat.
Jom ketahui bahan-bahan tampalan pergigian!
- Amalgam adalah campuran cecair merkuri dan logam (tin, tembaga dan perak)
- Bahan ini telah lama digunakan sejak tahun 1800
- Namun, penggunaan bahan ini semakin berkurang disebabkan wujudnya kebimbangan mengenai keracunan toksik merkuri walaupun kadar keracunan toktik adalah sangat minimun dan tidak memudaratkan kesihatan
- Bahan amalgam ini berwarna perak dan berkilau, menyebabkan ia kurang menarik dari segi estetik dan tidak menjadi pilihan utama orang ramai walaupun harganya lebih murah berbanding bahan pergigian yang lain
- Bahan ini hanya sesuai digunakan untuk restorasi pergigian gigi molar dan pra molar (gigi belakang) sahaja
- Komposit resin adalah bahan pergigian yang sering digunakan kerana sifatnya yang mudah dibentuk dan mempunyai ikatan yang kuat dengan struktur gigi
- Warna bahan ini hampir sama dengan warna asal gigi membuatkan tampalan kelihatan nampak semula jadi berbanding dengan gigi yang ditampal dengan bahan pergigian yang lain
- Komposit resin adalah bahan pergigian yang sesuai untuk estetik namun bahan ini juga bukanlah sesuai untuk semua jenis restorasi pergigian
- Simen ionomer kaca adalah bahan pergigian yang mempunyai ciri-ciri yang hampir sama seperti komposit resin namun ia tidak menarik dan estetik berbanding komposit resin
- Bahan ini mempunyai ikatan yang kuat dengan struktur gigi
- Bahan ini juga mampu melepaskan bahan fluorida dan mampu mencegah kerosakan gigi
- Bahan simen ionomer kaca ini sering digunakan khususnya untuk rawatan gigi susu untuk mengurangkan kadar kerosakan gigi pada kanak-kanak
- Selain itu, bahan ini juga merupakan penebat yang baik terhadap saraf gigi dan digunakan sebagai lapisan untuk gigi yang mempunya karies yang dalam