Kini dengan teknologi yang berkembang dengan pesat, terdapat pelbagai jenis bahan pergigian yang ditawarkan, tidak kira di klinik pergigian swasta atau kerajaan.
Terdapat pelbagai jenis bahan yang boleh digunakan dalam rawatan restorasi tampalan pergigian, antaranya seperti amalgam, komposit resin dan juga simen ionomer kaca. Setiap bahan pergigian ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri, yang disesuaikan dengan kegunaan dan keadaan gigi yang dirawat.
Jom ketahui bahan-bahan tampalan pergigian!
1. AMALGAM
- Amalgam adalah campuran cecair merkuri dan logam (tin, tembaga dan perak)
- Bahan ini telah lama digunakan sejak tahun 1800
- Namun, penggunaan bahan ini semakin berkurang disebabkan wujudnya kebimbangan mengenai keracunan toksik merkuri walaupun kadar keracunan toktik adalah sangat minimun dan tidak memudaratkan kesihatan
- Bahan amalgam ini berwarna perak dan berkilau, menyebabkan ia kurang menarik dari segi estetik dan tidak menjadi pilihan utama orang ramai walaupun harganya lebih murah berbanding bahan pergigian yang lain
- Bahan ini hanya sesuai digunakan untuk restorasi pergigian gigi molar dan pra molar (gigi belakang) sahaja
2. KOMPOSIT RESIN
- Komposit resin adalah bahan pergigian yang sering digunakan kerana sifatnya yang mudah dibentuk dan mempunyai ikatan yang kuat dengan struktur gigi
- Warna bahan ini hampir sama dengan warna asal gigi membuatkan tampalan kelihatan nampak semula jadi berbanding dengan gigi yang ditampal dengan bahan pergigian yang lain
- Komposit resin adalah bahan pergigian yang sesuai untuk estetik namun bahan ini juga bukanlah sesuai untuk semua jenis restorasi pergigian
3. SIMEN IONOMER KACA (GIC)
- Simen ionomer kaca adalah bahan pergigian yang mempunyai ciri-ciri yang hampir sama seperti komposit resin namun ia tidak menarik dan estetik berbanding komposit resin
- Bahan ini mempunyai ikatan yang kuat dengan struktur gigi
- Bahan ini juga mampu melepaskan bahan fluorida dan mampu mencegah kerosakan gigi
- Bahan simen ionomer kaca ini sering digunakan khususnya untuk rawatan gigi susu untuk mengurangkan kadar kerosakan gigi pada kanak-kanak
- Selain itu, bahan ini juga merupakan penebat yang baik terhadap saraf gigi dan digunakan sebagai lapisan untuk gigi yang mempunya karies yang dalam