Bak kata pepatah "mencegah adalah lebih baik dari merawat!", penjagaan kesihatan pergigian adalah penting untuk mencegah masalah pergigian.
Gigi penting untuk pertuturan, mengunyah makanan dan juga untuk keyakinan diri. Seringkali, masalah pergigian tidak dihiraukan sehinggalah ia menyebabkan sakit/nanah/bengkak. Sebenarnya, dengan adanya sifat tanggungjawab untuk mengamalkan penjagaan kesihatan gigi yang baik dan betul, semua masalah ini boleh dielakkan.
Tip amalan penjagaan kesihatan gigi:
1. Pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya sekali setahun dan segera mendapatkan rawatan dari doktor gigi sekiranya mengalami masalah pergigian
- Pemeriksaan pergigian secara berkala membantu dalam pengesanan masalah pergigian dengan lebih awal dan rawatan pergigian boleh dilakukan sebelum terlambat. Sekiranya dibiarkan lama, ia mungkin akan merumitkan lagi rawatan pergigian di masa hadapan
2. Memberus gigi dua kali sehari
- Berus gigi dua kali sehari, pada waktu pagi selepas bangun dan sebelum tidur
- Pastikan anda menggunakan ubat gigi berfluorida
- Fluorida adalah sejenis mineral yang membantu menguatkan lapisan luar gigi yang dikenali sebagai enamel
- Pastikan anda berus dengan teliti di hadapan cermin, ambil sekurang-kurangnya 2 minit untuk memberus gigi
3. Flos gigi setiap hari
- Flos gigi anda untuk membuang kotoran yang terlekat di celah-celah gigi (bahagian yang susah dibersihkan dengan berus gigi)
4. Kurangkan makanan manis
- Makanan manis akan menyebabkan bakteria pada plak gigi untuk menghasilkan asid dan menyebabkan kerosakan gigi
- Selain masalah pergigian, ia juga akan menyebabkan masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis
5. Amalkan pemakanan sihat
- Makan makanan secara seimbang, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan, kurangkan pengambilan gula