Mitos Pergigian : Benar atau Palsu [2/10]

Ramai yang beranggapan bahawa masalah pergigian yang dialami semasa hamil adalah perkara yang biasa dan tidak perlulah dirisaukan sangat. Tidak kurang juga yang tidak kisah jika setiap kali hamil ada gigi yang rosak dan akhirnya tidak dapat diselamatkan. Ada juga yang berfikiran bahawa ibu mengandung tidak boleh mendapat rawatan pergigian.

Semua tanggapan-tanggapan ini adalah tidak benar sama sekali!

Perubahan hormon semasa hamil boleh mengakibatkan masalah keradangan gusi jika kebersihan mulut diabaikan. Morning sickness yang teruk pada awal kehamilan boleh menyebabkan gigi terhakis dan menjadi lebih sensitif. Ada juga ibu-ibu yang cenderung untuk mengambil makanan manis ketika hamil untuk menghilangkan rasa loya. Ini boleh menaikkan risiko untuk mendapat karies gigi, ataupun lebih dikenali sebagai gigi berlubang.

Semua masalah ini boleh diatasi dengan pemeriksaan pergigian. Doktor gigi yang bertauliah akan merawat masalah ini dan akan membantu untuk menyelamatkan gigi sebelum menjadi lebih teruk.
Ibu-ibu yang hamil disarankan untuk berjumpa dengan doktor gigi sekurang-kurangnya sekali sepanjang tempoh kehamilan bagi memastikan kesihatan gigi terjaga.